Vaksin Percuma Halang Hawar Berdarah, Perlu Kerjasama Penternak

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 15 Sep (Malaysiaaktif) - Vaksin untuk mencegah penyakit hawar berdarah dalam kalangan haiwan ternakan adalah percuma, yang diperlukan hanya kerjasama penternak supaya memberi kebenaran suntikan dilakukan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya adakala mengalami kesukaran melaksanakan langkah pencegahan kerana sikap tidak ambil peduli tentang kepentingan vaksin.

“Apabila ada kes wabak yang melanda ternakan lembu kerbau seperti hawar berdarah dikesan di sesuatu lokasi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan segera melakukan tindakan pencegahan dengan pemberian vaksin kepada semua ternakan yang berada dalam daerah dan kawasan sekitar.

“Ini adalah prosedur operasi standard  (SOP) jabatan supaya wabak tak merebak. Pemberian vaksin itu dilakukan secara percuma sahaja. Hanya kerjasama daripada pemilik ternakan yang diperlukan dan saya yakin stok vaksin yang ada adalah mencukupi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Azman berkata terdapat segelintir penternak yang menolak permohonan JPV kerana beranggapan ternakan mereka sihat hingga proses mencegah penularan terganggu, yang akhirnya membawa kematian ternakan dalam kuantiti yang banyak.

Katanya, penyakit hawar berdarah dikesan berlaku di Terengganu pada 2018 dan JPV telah mengambil tindakan sepatutnya sebagaimana SOP.

“Apabila mula dikesan pada 2018 hingga fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 proses vaksin telah dilakukan secara berterusan. Tanpa vaksin, jangkitan dan kematian ternakan boleh berlaku tanpa dijangka. Vaksin sebagai suatu ikhtiar pencegahan. Tanpa ikhtiar kita tidak boleh berserah begitu sahaja.

“Biasa berlaku apabila berlaku kematian barulah pemilik yang asalnya tidak memberikan kerjasama, mengizinkan baki ternakan mereka yang masih hidup diberikan vaksin,” katanya yang turut berharap agar penternak di negeri itu mengubah sikap dan mendengar saranan JPV.

Dr Azman juga menggesa penternak mengambil langkah pencegahan dengan mengasingkan haiwan ternakan bergejala serta segera melaporkan kepada JPV untuk mengambil vaksin dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA