KKMM Sasar 459 Program Pembudayaan Norma Baharu Bersama Komuniti

Foto: Kementerian Komunikasi dan Multimedia

PUTRAJAYA, 15 Sep (Malaysiaaktif) - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyasarkan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 459 program pembudayaan norma baharu bersama komuniti, yang bertujuan memberi kesedaran serta sebagai usaha memutuskan rangkaian wabak COVID-19, kata Ketua Setiausahanya Datuk Suriani Ahmad hari ini.

Beliau berkata program itu yang menggunakan kaedah memasuki ke kampung-kampung untuk bertemu dengan komuniti setempat, mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain.

“Ketua masyarakat dan ketua kampung memainkan peranan, untuk sama-sama memberi maklumat berkenaan kempen ini kepada penduduk tempatan. Kami (KKMM) merancang untuk melaksanakan tiga aktiviti di dalam satu daerah, dengan anggaran 153 daerah seluruh Malaysia,” katanya selepas merasmikan program pertama Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rangkaian COVID-19 di Rumah Panjang Akat Akong, hari ini.

Antara pengisian dalam program pembudayaan itu ialah, sesi ceramah kesihatan yang meliputi cara memakai pelitup muka dengan betul, selain penerangan lanjut mengenai virus COVID-19 serta ceramah keselamatan untuk menjaga diri dan masyarakat.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Shakib Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Sukari Ab. Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Hashim Bedu dan Pengarah Penerangan Sarawak Swady Guliling.

-- BERNAMA