Semangat Kemerdekaan Perlu Terus Dihayati - Ahyaulumuddin

Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan Sekolah Kebangsaan (SK) Senaling dirai dengan meriah walau disambut dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di dewan sekolah berkenaan semalam.

Guru Besar SK Senaling, Ahyaulumuddin Abdul Hamid, berkata program tersebut diadakan untuk seluruh warga SK Senaling menghayati semangat kemerdekaan serta mengenang pengorbanan orang terdahulu yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

“Pelajar perlu diingatkan bahawa negara ini perlu dijaga dan dihormati, salah satu cara ialah dengan menghormati Jalur Gemilang, dan setiap individu berperanan meneruskan kesinambungan keamanan negara ini pada masa akan datang," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut, di sini.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah Shaharuddin [email protected] Hassan, kerjasama yang dijalinkan dengan pihak sekolah tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kemerdekaan di samping menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan tahun ini.

“Kemerdekaan bukan hanya bebas dari penjajahan namun kita perlu merdeka dengan mengisi nilai-nilai murni dalam diri, setiap pelajar perlu peka dengan persekitaran dan tidak terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat,” katanya.

Pelbagai aktiviti telah diadakan untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan di sekolah tersebut antaranya pertandingan mewarna, pertandingan kuiz kenegaraan dan Pertandingan Busana Kemerdekaan serta tidak ketinggalan Pertandingan Ekspresi Merdeka yang melibatkan lapan buah sekolah di daerah ini.

Majlis telah dirasmikan secara dalam talian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Datuk Adanan Abu Hassan.

-AK