Pengambilan Anggota ATM Diteruskan Meskipun Berdepan COVID-19

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 16 Sep (Malaysiaaktif) - Pengambilan pegawai dan rekrut baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan seperti biasa meskipun negara sedang menghadapi ancaman pandemik COVID-19, kata  Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata pengambilan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, pegawai kadet lepasan ijazah dan pengambilan perajurit muda bagi setiap perkhidmatan dalam ATM pada tahun ini adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"ATM akan mengekalkan seramai 6,000 pengambilan dan jumlah itu tidak akan dikurangkan bagi mengimbangi jumlah pegawai dan anggota yang akan bersara daripada perkhidmatan setiap tahun," katanya dalam wawancara khas bersempena Hari ATM ke-87 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Affendi berkata proses pemilihan dan pengambilan dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua kaum berdasarkan syarat kelayakan kemasukan yang sedang berkuat kuasa.

Menurutnya, setakat 31 Julai tahun ini, 86.68 peratus keanggotaan adalah kaum Melayu, Bumiputera Sarawak (7.07 peratus), Bumiputera Sabah (4.39 peratus), India (1.28 peratus), Cina (0.38 peratus) dan lain-lain kaum sebanyak 0.08 peratus.

Katanya berdasarkan kajian yang pernah dijalankan Kementerian Pertahanan, faktor utama kaum bukan bumiputera kurang berminat menyertai ATM ialah kerana mereka menganggap bidang kerjaya itu berisiko tinggi dan berbahaya.

Selain itu, Affendi berkata piawaian kesihatan yang ketat selain keperluan mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dalam kehidupan serta gaji rendah juga menjadi antara punca kurangnya minat golongan berkenaan untuk menyertai bidang ketenteraan.

"Justeru, ATM sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif dan program di peringkat kebangsaan mahupun negeri bagi menarik kaum bukan Melayu khususnya Cina dan India menyertai pasukan keselamatan ini," katanya.

Namun, Affendi berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap syarat kemasukan ditetapkan bagi melahirkan modal insan mempunyai jati diri dan jiwa ketenteraan yang kompeten dari aspek ketahanan fizikal dan mental.

Beliau berkata ini penting kerana keanggotaan mereka dalam ATM adalah bagi menggalas tanggungjawab dan amanah utama iaitu mempertahankan keselamatan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata langkah pencegahan telah dilaksanakan dalam pasukan keselamatan berkenaan bagi membendung penularan wabak penyakit tersebut berpandukan garis panduan pelaksanaan program latihan ATM pasca-COVID-19 yang dikeluarkan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

-- BERNAMA