PUS Kuala Nerus Tanggungjawab Saya - Razif Abd Rahman

Laporan/foto: RA Othman (Terengganu)

MARANG, 12 Okt (Malaysiaaktif) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyampaikan sumbangan barang-barang keperluan harian untuk diagihkan di Pusat Kuarantin Marang, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Ahmad Razif berkata menjadi tanggungjawab beliau sebagai ADUN untuk terus mengambil tahu dan menyediakan keperluan kepada Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) Kuala Nerus yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Marang dan Besut.

Ahmad Razif menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian PUS di Pusat Kuarantin BTP kepada Pegawai Daerah Marang. Ahmad Razif menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian PUS di Pusat Kuarantin BTP kepada Pegawai Daerah Marang.



"Dalam fasa gelombang kedua yang lebih dahsyat ini, kita dapat melihat serangan virus ini lebih membimbangkan dan ada dalam kalangan kita pastinya mempunyai kesukaran menguruskan diri dan keperluan ahli keluarga.

"Oleh itu, untuk sumbangan kali ini, saya memperuntukkan sebanyak RM10 ribu untuk kegunaan pengurusan Pusat Kuarantin Covid-19 di daerah Marang yang sehingga kini menampung keperluan bagi 193 orang PUS di kedua-dua pusat kuarantin di Marang", katanya yang juga merupakan mantan Menteri Besar Terengganu.

Antara barangan keperluan harian seperti gula, milo, susu pekat manis, air mineral dan sebagainya untuk diagihkan. Antara barangan keperluan harian seperti gula, milo, susu pekat manis, air mineral dan sebagainya untuk diagihkan.



Majlis penyerahan ringkas ini dilaksanakan di ruangan foyer Pejabat Daerah Marang antara Ahmad Razif dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang diiringi oleh Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Doktor Tan Sin Yew serta Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Abdul Wahad Osman selaku wakil bagi Pejabat DUN Rhu Rendang.

Ahmad Razif memberitahu pihak media, beliau berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan kesihatan daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang serta semua yang terlibat menguruskan kesemua 62 orang PUS dari Kuala Nerus daripada keseluruhan 73 orang yang dikuarantin di BTP akibat kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 yang pulang dari Sabah baru-baru ini.

Keseluruhan PUS Kuala Nerus telah ditempatkan di pusat kuarantin di Marang dan di pusat kuarantin di Renek, Besut.

Dr. Tan Sin Yew, Pegawai Kesihatan Daerah Marang memberi penerangan kepada Ahmad Razif. Dr. Tan Sin Yew, Pegawai Kesihatan Daerah Marang memberi penerangan kepada Ahmad Razif.



Menurut Ahmad Razif lagi, selepas selesai majlis penyerahan di pusat kuarantin ini, pihaknya akan terus ke Besut pula untuk penyerahan sumbangan bagi PUS di sana.

"Anggaran jumlah keseluruhan sumbangan yang merangkumi kedua-dua pusat kuarantin ini adalah sebanyak RM15 ribu ringgit dan di harap dapat memberi sinar baharu buat semua PUS yang dikuarantin serta turut membantu pihak pengurusan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang memuaskan," katanya.

-ii-