Projek Rintis AADK Bantu Banteras Salah Guna Dadah

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Azizan Md. Sidi (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Masalah penyalahgunaan dadah di sekitar daerah Skudai berada pada tahap terkawal dan semakin berkurangan.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, melalui maklum balas yang diterima dari penduduk Kampung Skudai Kiri, statistik masalah penyalahgunaan dadah di kawasan ini menunjukkan kadar penurunan.

“Namun begitu, penduduk di sini amat berharap agar pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang berkaitan dapat mengambil lebih banyak tindakan dan pendekatan bagi membanteras masalah jenayah oleh segelintir pendatang tanpa izin yang sering menimbulkan masalah sehingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya ketika ditemui selepas program Sembang Santai Komuniti Kampung Skudai Kiri, di sini baru-baru ini.

Zulkifli memaklumkan, di negeri ini terdapat lima kawasan di daerah Johor Bahru yang telah diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi (KBT) yang akan diberi tumpuan oleh pihak AADK mulai tahun hadapan.

“Selain Skudai, Tampoi dan Perling antara kawasan yang akan menjadi tumpuan pendekatan baru dan lebih berani oleh jabatan dan agensi kerajaan bagi menangani penyalahgunaan dadah di bawah model projek rintis AADK.

“Saya mengharapkan sokongan penuh daripada masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan untuk menjayakan model projek rintis AADK ini dan saya juga amat berterima kasih di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru dalam memastikan ia berjalan lancar,” ujarnya.

Tambah beliau, tumpuan utama projek ini adalah untuk mencegah agar ia tidak berlarutan kerana gejala negatif ini bukan sahaja merugikan individu, malah memberi kesan tidak baik kepada negara.

“Stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah juga perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di mana galakan dan sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan agar golongan ini kekal positif dan bersemangat dalam menjauhi gejala penyalahgunaan dadah.

“Mereka yang telah diberikan rawatan pemulihan dan kembali ke masyarakat perlu diberikan peluang pekerjaan untuk menyara dan mengubah kehidupan keluarga,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Johor Bahru Abdul Rahman Salleh,  Ketua Polis Daerah (KPD) Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid dan Pengarah AADK Johor Azli Ubin.

-NI-