10 Dikompaun Ingkar SOP PKPP

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/RTM Labuan

LABUAN, 14 Okt (Malaysiaaktif) –  Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan di sekitar bandar Labuan, semalam.

Menurut Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad, kompaun dikeluarkan terhadap tujuh kesalahan iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam, dua pemilik premis perniagaan yang gagal menyediakan pengimbas suhu badan dan satu kesalahan tidak merekod kehadiran pelanggan.

“Sepatutnya pengusaha premis mesti peka dengan perkembangan kes COVID-19 semasa yang perlu mengamalkan SOP seperti mengamalkan jarak fizikal dan menyediakan pensanitasi tangan.

Farid (tengah) semasa ditemubual media. Farid (tengah) semasa ditemubual media.



“Semua pihak di luar sana perlu patuh kepada SOP di mana sahaja mereka berada dengan mendaftar ke aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran yang disediakan.

“Operasi ini akan kita teruskan dari sehari ke sehari sehingga kita semua dapat mengawal penularan COVID-19 di Labuan,” katanya ketika ditemui media selepas operasi.

Menurutnya lagi, sebelum ini kompaun turut dikeluarkan kepada lima individu yang tidak menggunakan pelitup muka menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15 kes ketidakpatuhan SOP PKPP sehingga hari ini.

Salah seorang pekerja restoran yang dikompaun. Salah seorang pekerja restoran yang dikompaun.



“Usaha ini diharap dapat menyedarkan masyarakat supaya tidak ambil mudah dan hanya melaksana SOP apabila melihat kehadiran pihak polis.

“Jangan takut kepada polis tapi takut kepada wabak COVID-19 yang boleh merebak dan membahayakan kita semua jika tidak mematuhi SOP,” katanya.

Selain itu katanya, Operasi turut disertai 30 anggota terdiri daripada Penguatkuasa Perbadanan Labuan, Angkatan Tentera (ATM) dan Rela yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membuat pemantauan di sekitar bandar.

“Operasi ini tidak hanya tertumpu kepada pematuhan SOP di tempat tumpuan ataupun kawasan sesak, malah meliputi semua premis serta kawasan yang mempunyai pengunjung,” tambahnya.

-SH