PKPB: JAIS Had Enam Orang Jemaah Solat Fardu di Selangor

Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)

Shah Alam, 16 Okt (Malaysiaaktif) - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghadkan jumlah bilangan jemaah bagi solat fardu di masjid dan surau seluruh Selangor seramai enam orang sahaja bermula hari ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shazihan Ahmad, berkata keputusan itu sesuai dengan ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ketetapan terkini MKN dalam perlaksanaan Perintah Kawalah Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang menetapkan seramai tidak melebihi enam orang untuk solat berjemaah.

“Bilangan tersebut adalah termasuk muazzin dan imam yang mengetuai Solat Fardhu berjemaah.

“Pentadbir masjid dan surau boleh menjadualkan pegawai atau ahli jawatankuasa bertugas dan ahli kariah tempatan terpilih untuk hadir berjemaah mengikut prosedur yang ditetapkan, ” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melaksanaan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari bermula 14 hingga 27 Oktober.

Ia dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

-NAZ