Pengguna Harus Diberi Kualiti Perkhidmatan Komunikasi Terbaik - MCMC

PUTRAJAYA, 16 Okt (Malaysiaaktif) - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia sentiasa bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna seperti termaktub dalam kontrak di antara kedua-dua pihak.

Dalam kenyataannya hari ini, MCMC berkata ini termasuk perkhidmatan yang baik semasa pemasangan, kualiti perkhidmatan ketika digunakan, pengurusan aduan pengguna yang cepat dan tepat serta pengguna dilayan secara baik dan profesional.

Malah, menurut MCMC pengguna boleh melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia kepada penyedia perkhidmatan terlebih dahulu seperti yang ditetapkan mengikut peruntukan Kod Amalan Am Pengguna (GCC) bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang wajar.

“Sekiranya jalan penyelesaian itu tidak memuaskan, pengguna boleh membuat aduan susulan di Portal Aduan MCMC melalui pautan https://aduan.skmm.gov.my. Pengguna juga berhak menamatkan kontrak, tertakluk kepada terma dan syarat kontrak yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, pihak penyedia perkhidmatan tidak dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna sekiranya ada dalam kalangan pengguna yang enggan memberi kerjasama kepada pihak penyedia perkhidmatan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Hak pengguna tidak terpakai sekiranya tanggungjawab ini tidak dilaksanakan oleh pengguna,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu,  MCMC akan terus memastikan penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia sentiasa memberikan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pengguna yang terbaik.

-- BERNAMA