Agong Mahu Ahli Politik Bermuhasabah, Tidak Ulangi Kancah Politik Tidak Menentu

Foto: Istana Negara

PUTRAJAYA, 16 Okt (Malaysiaaktif) - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua rakyat khususnya ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah juga mengulangi titah nasihat kepada ahli-ahli Parlimen supaya mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat, yang dititahkan semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lepas.

Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, berkata Seri Paduka turut menegaskan bahawa ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan.

Sebaliknya, titah Seri Paduka mereka perlu menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mengambil keberkatan bersempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menitahkan semua masjid di negara ini  mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat agar penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Titah Seri Paduka itu berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya, selain kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

"Oleh itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara," katanya.

-- BERNAMA