PDRM Tekad Bantu Kekang Penularan COVID-19 – Adnan

Laporan/foto: Muhamad Amirulfarhan Mohd Daud/Khairul Nazrie Mat Nayan (Kinta)

KINTA, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Batu Gajah giat melaksanakan operasi penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekitar kawasan sini bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 terutamanya di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri, berkata operasi ini dilaksanakan bagi memperketatkan penguatkuasaan SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Berdasarkan statistik pada 15 Oktober lalu, kes di negeri ini telah meningkat kepada 52 kes.

"Justeru itu, pihak PDRM telah diarahkan untuk memperketatkan penguatkuasaan SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui dalam operasi yang dianggotai tujuh pegawai dan 41 anggota termasuk dari Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pejabat Penerangan Daerah Kinta, Kementerian Kesihatan Daerah Kinta dan anggota dari pelbagai cawangan di sekitar Batu Gajah, di sini petang semalam.

Menurut Adnan, penguatkuasaan ini adalah untuk membuktikan bahawa PDRM memandang serius tentang pelaksanaan SOP di bawah PKPP.

"Lokasi operasi difokuskan pada kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pusat telekomunikasi dan pusat-pusat perniagaan.

“Antara kesalahan orang ramai adalah kegagalan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam dan peniaga yang tidak merekodkan maklumat keluar masuk pelanggan ke premis mereka," katanya.

-SH