PKPB: IPD Gombak Terima 1,587 Permohonan Rentas Negeri

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 18 Okt (Malaysiaaktif) - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima 1,587 permohonan rentas negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 1,555 diluluskan permohonan.

"Kebanyakan yang diluluskan atas urusan kecemasan seperti rawatan perubatan, kematian atau urusan-urusan lain yang dibenarkan.

"Baki 32 yang ditolak kerana didapati permohonan (alasan) itu adalah remeh seperti ingin bercuti di negeri lain, menghantar anak balik kampung atau menghadiri majlis perkahwinan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyertai Operasi Khas Pematuhan Standard Prosedur Operasi (SOP) PKPB di Plaza Tol Gombak, malam tadi.

Arifai (Dua dari kanan) sedang memeriksa sebuah bas yang melalui Plaza Tol Gombak untuk ke Pantai Timur. Arifai (Dua dari kanan) sedang memeriksa sebuah bas yang melalui Plaza Tol Gombak untuk ke Pantai Timur.



Mengulas lanjut, Arifai berkata, operasi berkenaan menumpukan pematuhan pelanggan di restoran-restoran dan tempat tumpuan orang ramai.

"Pemeriksaan bagi memastikan pelanggan dan pemilik premis mematuhi SOP seperti mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis nama, memeriksa suhu badan dan menggunakan cecair pencuci tangan.

"Kebanyakan pelanggan dan pemilik premis telah mematuhi SOP yang ditetapkan, namun terdapat juga yang gagal berbuat demikian.

"Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan kepada individu dan pemilik premis serta menangkap dua warga asing yang berniaga melebihi masa yang ditetapkan," jelasnya.

Katanya, tangkapan serta kompaun diambil dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (B) Akta 342 dibaca bersama Peraturan 11 Peraturan- Peraturan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020.

-SH