Empat Pemancing Terkandas Diselamatkan Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 18 Okt (Malaysiaaktif) - Empat pemancing yang terkandas di perairan Pulau Merambong, berdekatan dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas, dekat Iskandar Puteri, akibat enjin bot rosak, berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Mereka yang diselamatkan itu ialah Anuar Maula Yusof, 30; Faizul Esa, 23; Mohd Ezuan Mohammed, 34; dan Muhammad Danial Mohd Salleh, 24.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan daripada seorang mangsa pada pukul 4.59 petang, memaklumkan bot mereka mengalami kerosakan enjin di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Pulau Merambong, Johor Bahru.

“Mereka dimaklumkan keluar memancing dari Jeti Kampung Pendas, Johor Bahru pada pukul 12 tengah hari semalam namun enjin bot gagal dihidupkan ketika ingin bergerak balik menyebabkan mangsa (pengadu) terus menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nurul Hizam berkata susulan laporan, sebuah bot peronda telah dihantar ke lokasi kejadian untuk mencari dan menyelamatkan semua mangsa.

“Pasukan peronda tiba dalam tempoh 20 minit selepas menerima panggilan daripada mangsa (pengadu) dan seterusnya mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat serta memakai jaket keselamatan.

"Bot mereka kemudian selamat ditunda ke Jeti Kampung Pendas pada pukul 7.06 malam, hari sama,” kata beliau.

Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di kawasan perairan termasuk memastikan bot atau kapal mereka berada dalam keadaan yang baik.

-- BERNAMA