Penderma Darah Adalah Wira Tak Didendang - Tun Ahmad Faisal

Laporan/foto: Afnan Hakimi (Marang)

MARANG, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Lebih 60 penderma darah dalam kalangan kakitangan awam serta semua lapisan masyarakat khususnya di daerah ini terlibat dalam Program Menderma Darah anjuran Pejabat Daerah Marang.

Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata program derma darah dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nurzahirah adalah sebahagian inisiatif Pejabat Daerah Marang bagi membantu hospital menambah stok darah.

“Penganjuran program sebegini adalah bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya masyarakat tampil menderma darah bagi membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di hospital-hospital di seluruh negara khususnya di Negeri Terengganu.

Petugas kesihatan sibuk mengendalikan sesi derma darah di Bilik Syarahan, Tingkat 2, Pejabat Daerah Marang. Petugas kesihatan sibuk mengendalikan sesi derma darah di Bilik Syarahan, Tingkat 2, Pejabat Daerah Marang.



“Kita boleh lihat tahap kesedaran mengenai kepentingan menderma darah dalam kalangan masyarakat hari ini, walaupun berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat virus COVID-19, penderma darah sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk tampil secara sukarela bagi menderma darah, mereka inilah 'wira tak didendang',” katanya yang turut hadir sempena program di Pejabat Daerah Marang, di sini baru-baru ini.

Menurut Tun Ahmad Faisal, kesedaran inilah membuatkan sebilangan anggota masyarakat terpanggil untuk menderma darah melalui kempen anjuran pihak tertentu mahupun datang sendiri secara sukarela ke hospital atau ke Pusat Darah Negara.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak turut hadir ke program derma darah. Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak turut hadir ke program derma darah.



Menurut Jurucakap Unit Tabung Darah HSNZ Suriyati Ghani, kempen ini adalah platform terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan darah dan seterusnya menjadi tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia yang prihatin.

“Pihak kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jabatan-jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan kempen derma darah bagi membantu Pusat Darah Negara memenuhi misi bagi memastikan bekalan darah yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya.

Pegawai Penerangan Daerah Marang Adawiyah Othman, berkata beliau bersama kesemua kakitangan di bawah seliaannya juga mengambil peluang menderma darah bagi sama-sama merealisasikan tanggungjawab sosial kepada negara.

Pegawai Penerangan Daerah Marang, Adawiyah Othman mengedarkan poster dan risalah berkaitan Norma Baharu dan Langkah-langkah pencegahan Covid-19 kepada penderma. Pegawai Penerangan Daerah Marang, Adawiyah Othman mengedarkan poster dan risalah berkaitan Norma Baharu dan Langkah-langkah pencegahan Covid-19 kepada penderma.



Di samping itu juga, petugas Info on Wheels (IoW) Pejabat Penerangan Daerah Marang juga mengambil peluang mengedarkan poster, risalah dan memberi penerangan berkaitan Pembudayaan Norma Baharu serta Langkah-Langkah Pencegahan bagi memutuskan rantaian COVID-19 kepada penderma darah sepanjang kempen itu berlangsung selama hampir enam jam.

Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Marang turut sama menderma darah. Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Marang turut sama menderma darah.



Abdul Hakim Ismail, 28, peniaga, berkata selain niat untuk menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama dan bangsa, beliau menganggap derma darah sebagai satu sedekah yang diberikan ganjaran pahala.

"Alhamdulillah, ini adalah kali ke-15 saya menderma darah dan setiap kali saya menderma, saya rasakan badan saya semakin cergas dan berasa dalam keadaan sihat.

Abdul Hakim Ismail, 28 peniaga dan penderma darah. Abdul Hakim Ismail, 28 peniaga dan penderma darah.



“Harapan saya agar generasi muda menyambung usaha ini kerana banyak manfaatnya kepada diri serta individu yang memerlukan,” katanya.

-ii-