Majlis Penasihat Akan Bantu PL Tangani Masalah Rakyat - Bashir

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Penasihat Perbadanan Labuan (PL) akan membantu PL menangani masalah rakyat terutama yang terkesan dengan pandemic COVID-19.

Menurut Pengerusinya Senator Datuk Bashir Alias, menangani masalah rakyat adalah menjadi keutamaan kepada Ahli –Ahli Majlis Penasihat (AMP) PL yang baharu dilantik.

“Pada kami yang paling penting sekali adalah masalah rakyat, kita akan fokus terlebih dahulu dalam memastikan rakyat terpelihara.

“Pelantikan ini merupakan satu cabaran dalam kita menerima serangan COVID-19, serangan kepada ekonomi juga cukup ketara apabila ramai orang kehilangan kerja, syarikat-syarikat ditutup namun kerajaan telah ambil inisiatif dengan peruntukan rangsangan ekonomi dan kita juga mendapat limpahan melalui inisiatif Wilayah Cakna bagi membantu mereka yang terkesan dengan COVID-19.

“Saya berharap PL yang selama ini bertindak sebagai peneraju utama dalam membasmi wabak ini akan terus berusaha agar Labuan tidak terpinggir untuk kita majukan walaupun dalam keadaan yang amat teruk ini,” katanya yang ditemui selepas mesyuarat pertama AMP bersama Perbadanan Labuan, petang semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang melihat Labuan sebagai pulau yang patut dibantu.

“Walaupun kita punyai kekuatan sendiri namun kita perlu bantuan suntikan dana daripada kerajaan yang harus disalurkan kepada Labuan,” katanya.

Fary (dua dari kiri) dan Bashir (dua dari kanan) semasa Mesyuarat AMP yang pertama bersama PL. Fary (dua dari kiri) dan Bashir (dua dari kanan) semasa Mesyuarat AMP yang pertama bersama PL.



Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman, mengharapkan sokongan dan kerjasama semua AMP yang berkuatkuasa sehingga 30 Jun 2022.

“Majlis Penasihat adalah bertanggungajawab untuk memberikan nasihat kepada PL berhubung dengan fungsi-fungsi kerajaan tempatan yang dilaksanakan oleh Perbadanan.

“PL mengharapkan AMP yang dilantik ini akan bersama-sama membantu dalam usaha-usaha membangunkan dan memajukan Labuan,”katanya lagi.

Pada mesyuarat itu, Fary memaklumkan PL berkongsi beberapa isu dengan AMP antaranya masalah yang dihadapi rakyat dan tindakan-tindakan yang diambil PL.

“Antara tindakan yang kita ambil adalah mewujudkan Aduan Mesra Rakyat melalui aplikasi WhatsApp, Team Prihatin PL yang mengambil tindakan kurang dari satu jam terhadap aduan-aduan rakyat.

“Kita juga kongsi Pelan Perancangan Pembangunan oleh PL untuk tahun hadapan yang mana lebih fokus membantu dan menjana ekonomi warga Labuan antaranya kita ingin naik taraf kawasan penjaja supaya lebih selesa serta meningkatkan pendapatan mereka,”jelasnya.

Selain itu katanya, ada projek-projek tambahan untuk kesejahteraan rakyat yang diangkat Senator Datuk Bashir kepada Menteri Wilayah Persekutuan bagi projek-projek kecil di Labuan.

“Menteri Wilayah Persekutuan berjaya mendapatkan peruntukan daripada Perdana Menteri dan diluluskan RM 1.5 juta untuk pelaksanaan 75 projek-projek kecil bagi menjana peluang pekerjaan,” tambahnya.

-SH