APEC Lancar Visi Putrajaya 2040

PUTRAJAYA, 21 Nov (Malaysiaaktif) - Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik  (APEC) semalam melancarkan Visi Putrajaya 2040, aspirasi bagi pertumbuhan ekonomi masa kini dan masa depan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Visi baharu itu menggantikan Matlamat Bogor yang diumumkan pada 1994 semasa para pemimpin APEC bertemu di Bogor, Indonesia, dan diguna terima bagi matlamat jangka panjang perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini.

Visi Putrajaya 2040 diperkenalkan pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC secara maya oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Acara itu diadakan secara maya buat pertama kalinya disebabkan pandemik COVID-19.

Dalam ucapan penutupnya, Muhyiddin menegaskan teras Visi Putrajaya 2040 adalah komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan menjelang 2040, bagi kemakmuran rakyat dan generasi masa depan.

“Marilah kita bekerjasama secara bersatu padu untuk mencapai visi ini. Bersama sebagai keluarga APEC, kita dapat mencapainya,” katanya.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di televisyen, Muhyiddin dan pemimpin lain memegang dokumen visi itu sebagai lambang kepada penerimaan mereka.

Muhyiddin kemudian membaca perkara utama daripada Deklarasi Pemimpin dan mengumumkan penerimaannya dengan tepukan termasuk daripada semua pemimpin.

“Ia bukti jelas mengenai apa yang kita mampu capai apabila kita mengetepikan perbezaan kita dan sudah tentu, fokus kepada nilai-nilai bersama,” katanya.

Pada 2018, para pemimpin terbabit tidak dapat mencapai persetujuan berhubung Deklarasi Pemimpin manakala pada 2019, Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC telah dibatalkan berikutan keadaan domestik Chile ketika itu.

Terdahulu, Muhyiddin menyempurnakan majlis penyerahan hak penganjuran kepada New Zealand sebagai tuan rumah APEC 2021 kepada Perdana Menterinya, Jacinda Ardern dan disusuli dengan ucapan ringkas serta video pendek berkaitan negara tersebut.

Acara yang berlangsung secara maya itu turut menyaksikan Muhyiddin berdiri memegang logo APEC 2020 yang diserahkan secara simbolik kepada Adern yang menerimanya dengan paparan logo APEC 2021.

-- BERNAMA