Ekonomi Digital dan 4IR Negara Cermin Keseriusan Kerajaan - MCMC

PUTRAJAYA, 21 Nov (Malaysiaaktif) - Penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara mencerminkan keseriusan kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi 4IR, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Majlis tersebut yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berfungsi sebagai tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di negara ini.

Menurut kenyataan MCMC hari ini,  adanya kesalinghubungan digital yang inklusif dan mantap melalui pelbagai usaha oleh kerajaan akan dapat menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, menurut MCMC kerajaan juga komited dalam meletakkan aspek pendidikan sebagai pelaburan paling penting untuk memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik serta merapatkan jurang digital.

"Buktinya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk tahun depan di bawah Belanjawan 2021 bagi memastikan  kesalinghubungan di 430 buah sekolah di seluruh negara.

"Peruntukan sebanyak RM7.4 bilion turut diberikan oleh kerajaan untuk 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar, terutamanya di kawasan luar bandar," demikian menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA