106 Pengerusi dan Setiausaha JPKK Daerah Langkawi Terima Watikah

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 106 orang Pengerusi dan Setiausaha menerima Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Langkawi bermula Oktober 2020 sehingga Jun 2023.

Pegawai Daerah Langkawi Saiful Anwar Azmi, berkata jawatan Pengerusi dan Setiausaha JPKK merupakan amanah yang diberikan oleh kerajaan negeri dan seharusnya menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan yang dilantik dapat menjalankan amanah dengan baik dan penuh bertanggungjawab dalam menguruskan urusan sesebuah komuniti supaya semua penduduk Daerah Langkawi dapat menikmati kesenangan dan kemakmuran dikecapi secara menyeluruh.

"Dengan lantikan baharu ini diharap dapat memberikan komitmen yang baik serta bertanggungjawab serta berganding bahu bersama-sama demi kemakmuran bersama-sama khususnya di daerah ini," katanya di sini haru ini.

Saiful ketika menyampaikan ucapan sempena majlis, di sini. Saiful ketika menyampaikan ucapan sempena majlis, di sini.



Menurut Saiful, JPKK yang dilantik ini dapat memberikan khidmat kepada masyarakat khususnya warga kampung dan sentiasa bersiap sedia serta proaktif dalam membantu daerah ini dalam aktiviti pembangunan yang turut melibatkan sosio ekonomi, pelancongan dan pembangunan modal insan.

“Selain itu, JPKK juga perlu berfungsi sebagai penghubung di antara kerajaan dan rakyat dalam membantu kesejahteraan Daerah Langkawi yang mana mereka perlu menyalurkan maklumat maklumbalas, aduan, masalah, permintaan atau keperluan komuniti setempat kepada Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi terutama dalam menangani situasi pandemik COVID-19 yang amat mencabar ketika ini di samping isu-isu yang lain,” katanya.

Meriyah Busuh, 53, salah seorang pengerusi JPKK Kampung Bukit Temin, Mukim Ulu Melaka yang baharu dilantik berkata jawatan ini adalah amanah yang perlu dijalankan.

"Setiap permasalahan orang kampung saya akan dibawa ke peringkat lebih tinggi supaya kehadiran kami dapat dirasai oleh penduduk kampung," katanya.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Johari Bulat dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap ADUN Kuah Mohamad Firdaus Ahmad.

-SH