MKN Serah Empat Buah ‘Rumah Merah’ kepada JIM

Laporan/foto: Eviannie Kin/Vicky S Matanjang (Sabah)

PAPAR, 2 Jan (Malaysiaaktif) - Sebanyak empat buah Pusat Tahanan Sementara (PTS) bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Sabah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Menurut Pengarah Keselamatan Negeri MKN Sabah Sh. Sitti Saleha Habib Yusof, penyerahan tersebut berdasarkan Sidang MKN Bilangan 3 Tahun 2019 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri memutuskan supaya semua empat PTS di bawah seliaan MKN di Sabah diserahkan kepada JIM dan seterusnya mendapat kelulusan penyerahan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020.

"Tujuan penyerahan PTS atau lebih dikenali ‘Rumah Merah’ bagi masyarakat tempatan itu adalah di atas kerelevanan JIM sebagai pengurus PTS dari segi aspek perundangan dan kewajipan mematuhi Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Selain itu juga, pengurusan di PTS akan dapat diseragamkan memandangkan mekanisme sedia ada mengenai pengurusan depot tahanan di seluruh negara telah lama diwujudkan dan dikendalikan oleh pihak JIM.

“MKN percaya dengan penyerahan pengurusan PTS ini akan menambah baik dan memantapkan pengurusan tahanan pendatang aaing tanpa izin (PATI) di Sabah,” katanya.

Majlis Rasmi Penyerahan PTS dari MKN kepada JIM disempurnakan oleh Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor di PTS Papar, di sini.

Hadir sama Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Dr Muhammad Sade Muhamad Amin.

-SH