MRA Hulur Bantuan, Ringankan Beban Mangsa Banjir

Laporan/foto: Muhammad Lukmannul Hakim Mohd Saleh (Johor)

BATU PAHAT, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Malaysia Relief Agency Johor (MRA) menghulurkan bantuan keperluan asas kepada 15 penduduk yang terkesan ekoran bencana banjir yang melanda Kampung Parit Jayus Sri Medan, di sini semalam.

Menurut Ketua Penyelaras MRA Mesafizam Mesri, bantuan yang diberikan kepada para penduduk yang terjejas mampu meringankan dan mengurangkan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh mereka.

"Saya berharap bantuan ini dapat membantu mangsa-mangsa banjir untuk meneruskan kelangsungan hidup terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara," katanya ketika ditemui pada sesi penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir.

Tambah beliau, sumbangan ini juga sebagai tanda MRA sentiasa menyantuni golongan yang ditimpa musibah dan diharapkan bantuan itu dapat menaikkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Pihak kami mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan dan bersama-sama membantu memudahkan bantuan disampaikan.

“Semoga bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meningkatkan semangat dan memberi manfaat kepada semua yang terkesan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Mohd Hanafi Sowarni, 30, melahirkan rasa gembira dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan.

"Saya berharap agar aktiviti sumbangan seumpama ini dapat diteruskan bagi membantu para penduduk yang terkesan di samping membuka peluang kepada para belia untuk bergiat aktif dalam misi bantuan seperti ini,”ujarnya lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca bahaya iaitu hujan sangat lebat dijangka berterusan di beberapa buah daerah di negeri ini sehingga esok yang melibatkan daerah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

-NI-