Bayi Dua Bulan Meninggal di Rumah Pengasuh

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Jan (Malaysiaaktif) - Seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di sebuah Apartment Batu 7, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada badan bayi berkenaan.

"Pengasuh yang berusia 43 tahun itu memaklumkan bayi berkenaan dihantar ibunya pukul 8 pagi dan diberi susu 30 minit kemudian sebelum tertidur.

"Kira-kira pukul 11.45 pagi pengasuh mendapati bayi itu tidak bergerak dan tiada tindak balas ketika dikejutkan.

"Pengasuhnya terus menghubungi ibu bayi berkenaan sebelum membawa ke sebuah klinik di Jalan Prima Gombak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata doktor klinik tersebut mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia dan punca kematian tidak diketahui.

"Mayat bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat serta ujian COVID-19.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan keputusan bedah siasat diperoleh," katanya.

-NAZ