Pandemik COVID-19 Beri Ruang Pengukuhan Digital Perkhidmatan Awam

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) - Penularan wabak COVID-19 di negara ini merupakan satu titik tolak kepada pengukuhan era digitalisasi dalam perkhidmatan awam di negara ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian hari ini, beliau melihat keperluan untuk menyatukan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu platform dengan aplikasi pintar untuk memudahkan urusan.

“Kalau dahulu, kita mempunyai pelbagai platform untuk menguruskan urusan pencen, cuti, permohonan belajar, bayaran pinjaman dan lain-lain lagi. Saya menjangkakan kita mampu menyatukan kesemua perkhidmatan bawah satu platform dengan aplikasi pintar yang boleh diintegrasikan dengan aplikasi kerajaan yang lain.

“Justeru, melalui penyatuan ini, pelanggan akan berfokus kepada satu platfom perkhidmatan yang memudahkan segala urusan dengan pihak kerajaan iaitu melalui perkhidmatan berpusat secara dalam talian," katanya.

Mohd Khairul Adib berkata sesebuah organisasi boleh berjaya jika ia dapat melihat dan membuat jangkaan perubahan yang akan berlaku pada masa hadapan manakala organisasi yang tidak membuat perubahan dengan cepat akan ketinggalan dan gagal.

Beliau memberikan contoh mengenai syarikat Kodak, sebuat syarikat besar dalam dunia fotografi, yang hampir terpaksa gulung tikar kerana kegagalan melihat perubahan dunia fotografi ke arah digital.

“Dalam konteks ini, perkhidmatan awam juga sama. Kita perlu melihat dan memahami perubahan yang berlaku, yang melibatkan pelanggan utama kita (penduduk Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demografi penduduk Malaysia sedang berubah dan Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan peratusan penduduk Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas akan meningkat daripada lima peratus pada 2010 kepada 15 peratus pada 2030.

“Malaysia akan menjadi sebuah ‘negara tua’ menjelang 2030. Perubahan demografi serta perubahan lain seperti teknologi, akan menghasilkan suatu era baharu kepada perkhidmatan awam," katanya.

-- BERNAMA