75 Ahli Majlis Daerah Terima Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Kelantan)

TANAH MERAH , 14 Jan (Malaysiaaktif) - Seramai 75 Ahli Majlis Daerah menerima Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan bagi Daerah Tanah Merah, Machang dan Jeli tahun 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan Dr. Izani Husin berkata pelantikan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul demi rakyat.

"Pemilihan dalam perlantikan ini mestilah mempunyai ciri-ciri orang yang mahir dan terbukti berpengalaman berkhidmat kepada masyarakat.

"Setiap yang dilantik perlu melengkapkan diri dengan ilmu kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas bagi memudahkan mereka melaksanakan kewajipan serta menyelesaikan masalah rakyat nanti.

“Buku kecil sentiasa berada dalam poket, bagi mencatit rungutan dan masalah rakyat dan buku ini dibawa kemana-mana sahaja, isu yang timbul mesti di bawa ke mesyuarat pihak berkuasa tempatan untuk diambil tindakan penyelesaian,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut pejabat Majlis Daerah Tanah Merah, di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis Daerah yang merangkumi tiga daerah yang dilantik bagi tahun 2021 Ahli Majlis Daerah yang merangkumi tiga daerah yang dilantik bagi tahun 2021



Dalam pada itu, Dr. Izani menjelaskan kerajaan telah berusaha menangani pandemik COVID-19 dengan pelbagai kaedah agar kesihatan semua dapat dijaga malah turut menyeru agar rakyat dan kerajaan bersatu-padu mengekang pandemik ini daripada merebak.

“Marilah sama-sama menyokong usaha kerajaan seperti mengamalkan 3S dan 3W serta patuh SOP yang ditetapkan kerajaan demi keselamatan semua,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Machang, Wan Zubaiyah Wan Hamat, 60, bersyukur dengan pemilihan lantikan sebagai Ahli Majlis Daerah tahun 2021 ini, beliau berjanji sedaya upaya akan berkhidmat untuk rakyat melalui amanah diberi Pihak Berkuasa Tempatan(PBT).

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas perlantikan sebagai Ahli Majlis Daerah, pelantikan ini mungkin berdasarkan pengalaman saya yang berkhidmat menyelesaikan masalah rakyat setempat selama ini,” katanya.

Ahli Majlis Daerah Jeli, Shamsudin Yahya, 56, menyatakan komitmen serta pengalaman menyelesaikan isu rakyat setempat amat membantu sehingga beliau dilantik semula.

“Memang betul pengalaman dan kesungguhan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat adalah satu amanah, kita sudah kenal siapa yang tinggal dalam kawasan kita, tahu masalah dihadapinya, oleh itu segerakan bantuan yang sepatutnya, usah dibiarkan menjadi lebih rumit,” katanya.

- NAZ