Tiada Pihak Ketiga Dilantik Urus Program Rekalibrasi

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan Program Rekalibrasi bagi pendaftaran pekerja asing di negara ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berurusan dengan pihak yang mendakwa sebagai ejen dan pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan tersebut dengan kadar bayaran tertentu.

“Pendaftaran program ini boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my,” kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program itu boleh mendapatkan maklumat menerusi Sistem Pertanyaan Online (SPO) di http://eapp.imi.gov.my/spo.

Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang mengandungi dua komponen utama, iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, telah bermula pada 16 Novembe 2020 dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Program Rekalibrasi Pulang membenarkan pendatang tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja adalah program untuk membolehkan pendatang tanpa izin dijadikan pekerja asing yang sah di negara ini.

-- BERNAMA