Bumi Berputar Lebih Cepat, Tahun Akan Datang Mungkin Lebih Pendek

Foto: Agensi Angkasa Malaysia

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Putaran bumi yang lebih cepat dijangka menjadikan 2021 lebih pendek berbanding tahun sebelumnya dan mungkin mengurangkan satu saat daripada penyelarasan waktu sejagat (UTC), menurut Fizik Teknikal dan Kejuruteraan Radio, Institut Metrologi Rusia , lapor Agensi Berita Sputnik.

Memasuki 2021, media sering melaporkan saintis menyatakan Bumi berputar semakin cepat, menjadikan piawaian satu hari lebih pendek dari 24 jam. Menurut laporan, 2020 mengandungi 28 hari terpendek dalam sejarah (sejak awal pemerhatian metrologi pada 1960), dan 19 Julai dicatat 1.4 milisaat lebih pendek daripada biasa. Trend ini dilaporkan dijangka berterusan pada tahun akan datang.

"Memang benar, ramalan awal (hari akan menjadi lebih pendek), tetapi hanya jika kelajuan putaran Bumi dipelihara," kata jurucakap institut Rusia.

Selama beberapa dekad, Bumi berputar di sekitar paksinya lebih cepat daripada tempoh 24 jam (satu hari atom), dan saintis menambah 1 saat ke UTC pada purata setiap 18 bulan untuk mengimbangkan perbezaannya. Tempoh putaran Bumi di sekitar paksinya disebut hari bintang, atau UT1.

"Selama empat tahun terakhir, perbezaan antara hari bintang dan hari atom hampir lenyap, jadi tidak perlu menambah saat tambahan ke UTC. Jika kelajuan putaran Bumi berlanjutan dengan kecepatan yang sama, di akhirnya kita mungkin tidak perlu menambah saat, tetapi menolaknya dari UTC, " kata jurucakap itu.

Sejak 1972, sejumlah 27 saat telah ditambah ke UTC untuk mengimbangkan masa sejagat. Pengimbangan pertama dibuat pada 1 Julai 1972 dan terakhir pada 1 Januari 2017.

-- BERNAMA