Pandemik COVID-19 Dorong kepada Peningkatan Penggunaan Digital

PUTRAJAYA, 24 Jan (Malaysiaaktif) - Unjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memperoleh pertumbuhan 20 peratus sumbangan e-dagang kepada ekonomi digital dapat dicapai kerana pandemik COVID-19 telah membantu mendorong peningkatan penggunaan digital dalam kalangan usahawan.

Naib Presiden perniagaan digital (industri-bekalan), Gopi Ganesalingam berkata pada tahun 2019, ekonomi digital telah menyumbang sehingga 19.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Sektor seperti MedTech, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Teknologi Agri akan menjadi pelopor pada tahun 2021, menyumbang kepada kenaikan pendapatan digital," katanya kepada Bernama.

Gopi berkata ASEAN adalah antara ekonomi yang paling berkembang pesat di dunia dan menghubungkan serta mempromosikan perniagaan teknologi Malaysia ke rantau ini, sebagai permulaan, akan menjadi satu dorongan yang hebat.

Beliau berkata Malaysia sudahpun menerajui kedudukan kepimpinan dalam banyak sektor teknologi.

"Program eksport seperti GAIN MDEC mesti dipertingkatkan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat ASEAN digital,” katanya.

Meningkatkan kemahiran dan melahirkan bakat digital yang baik amat penting untuk ekonomi digital terus maju, jelasnya.

Ekonomi gig pula sedang meningkat dan ia perlu dimanfaatkan dan diperkembangkan untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

“Program seperti GLOW membantu mereka yang memerlukan platform "crowdsourcing" untuk menjana pendapatan digital. Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas, GLOW telah menjana pendapatan berjumlah lebih dari RM190 juta," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) untuk tempoh Jan hingga Jun 2020, ia telah disertai oleh 324 syarikat, mencatatkan pendapatan melebihi RM1.6 bilion dan jumlah eksport RM260 juta.

Untuk segmen e-dagang pula, Halatuju Strategik eDagang Negara (NESR) telah membantu hampir 80,000 PKS mengguna pakai e-dagang dan menolong sekitar 8,000 syarikat memanfaatkan e-dagang untuk eksport dalam tempoh Januari hingga Jun 2020.

Bagi "internet of things" (IoT), data MDEC menunjukkan dari Januari 2020 hingga Jun 2020, Rangka Kerja Strategik IoT Nasional membantu mengumpulkan lebih daripada RM140 juta pelaburan, melibatkan 283 syarikat, sekali gus menjana pendapatan melebihi RM230 juta serta menghasilkan lebih daripada RM120 juta eksport secara keseluruhan.

Mengenai teknologi dron - Global Test Bed telah melibatkan 84 syarikat dan mengumpulkan pelaburan melebihi RM124 juta.

Ditanya sama ada pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional boleh menjadikan Malaysia negara keusahawanan sejati menjelang 2030, Gopi berkata dasar itu perlu diterajui dan dipacu oleh pelbagai agensi kerajaan dengan digital menjadi penggerak utama.

"Paling penting, kerajaan perlu menerapkan transformasi digital dalam kementerian dan agensi masing-masing.

"Dasar dan peraturan perlu seiring dengan inovasi teknologi yang serba pantas dalam bidang seperti teknologi kewangan (fintech), 4IR, teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) dan kita perlu pastikan dasar ini inklusif dan memberi manfaat kepada semua," jelas beliau.

Syarikat pemula Malaysia telah bersedia untuk menjadi jaguh serantau kerana mempunyai semua sokongan yang diperlukan untuk menjadi peserta global.

"Syarikat teknologi Malaysia perlu terus berinovasi untuk kekal berada di hadapan, kata Gopi.

"Syarikat Malaysia juga harus mula berfikir secara global. Jangan bangunkan penyelesaian untuk satu pasaran. Bangunkan untuk pasaran global dan mula menangani masalah global

"Manfaatkan sokongan yang diberikan kerajaan -- MDEC, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cradle Fund, Malaysia Venture Capital Management Bhd, Malaysia Debt Ventures Bhd dan lain-lain," tambahnya.

-- BERNAMA