PTPK Terus Tangguh Bayaran Balik Pinjaman

Foto: Infografik Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran

PUTRAJAYA, 24 Jan (Malaysiaaktif) - Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) meneruskan lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga tempoh yang akan diumumkan kelak susulan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah PTPK Ahmad Fadhli Shaari berkata penangguhan itu selari dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban peminjam ketika menghadapi penularan COVID-19 pada masa ini.

"Antara inisiatif kami ialah memberikan moratorium bagi memberi kelegaan kepada tekanan kewangan yang dihadapi peminjam.

"Peminjam diberi pelepasan untuk tidak membayar pinjaman sehingga kerajaan membuat pengumuman nanti berhubung moratorium walaupun penangguhan itu menjejaskan prestasi kutipan balik bayaran," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Ahmad Fadhli berkata sejak 2006, sebanyak 400,000 peminjam terutamanya golongan muda mengikuti latihan kemahiran di pusat-pusat latihan kemahiran berdaftar di bawah Kementerian Sumber Manusia.

"Ia melibatkan dana RM1 bilion yang diperuntukkan bagi membantu rakyat untuk mendapatkan ilmu kemahiran di pusat-pusat latihan.

"Bagi kami, melanjutkan penangguhan satu kewajipan sebagai kerajaan bagi memastikan rakyat terbela...namun di samping ditawarkan moratorium terdapat juga peminjam melakukan bayaran balik walaupun ketika ini tidak wajib membuat bayaran," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parimen Pasir Mas berkata lebih RM500,000 diperuntukkan oleh PTPK bagi membantu mangsa terjejas banjir di beberapa negeri sebelum ini.

"Kita mula agihan bantuan itu sejak dua minggu lepas di Johor, Pahang dan Kelantan bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh mangsa banjir.

"Di Pasir Mas sahaja, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi membantu mangsa yang terlibat banjir sebelum ini," katanya

-- BERNAMA