Pematuhan SOP di Pasar Awam Bantu Cegah Penularan COVID-19

Laporan/foto: Muhamad Amirulfarhan Mohd Daud/Norfatihah Abd Jamin (Kinta)

BATU GAJAH, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh penduduk setempat di Pasar Awam Batu Gajah, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kembali baru-baru ini.

Menurut Yang Dipertua MDBG Mohamad Razif Ramli, orang ramai khususnya penduduk kawasan ini dinasihatkan agar mematuhi SOP yang dikuatkuasakan sepanjang PKP berlangsung.

“Jangan lupa untuk sentiasa menggunakan pelitup muka dengan betul semasa keluar daripada rumah dan menjaga penjarakan fizikal selain kerap mencuci tangan,” katanya ketika ditemui di pasar tersebut, di sini hari ini.

Pemantauan dilakukan oleh Mohamad Razif bersama Pegawai Daerah Kinta Meor Hezbullah Meor Abd Malik.

Melalui tinjauan yang dilakukan mendapati orang awam mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu mengimbas suhu badan sebelum memasuki pasar dan mengimbas kod MySejahtera atau menulis nama dalam buku log yang disediakan.

“Orang awam diberi masa selama 10 minit untuk tujuan urus niaga di dalam pasar bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan urusan jual beli.

"Saya juga ingin menasihatkan orang ramai agar keluar dari rumah hanya untuk tujuan mendesak sahaja dan jika tiada tujuan sila duduk di rumah dan jagalah kesihatan diri dan keluarga,” tambahnya.

Program pemantauan ini turut melibatkan kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kinta yang melakukan hebahan berkenaan SOP Norma Baharu selain mengedarkan risalah dan kit pencegahan COVID-19 kepada orang awam di pasar tersebut.

-SH