Kaukus Dewan Negara Gesa Campur Tangan Beberapa Pihak Tangani Isu PdPR

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 25 Jan (Malaysiaaktif) - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC), badan yayasan dan semua wakil rakyat digesa campur tangan dalam menyelesaikan isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga mencetuskan pelbagai polemik.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Senator Datuk Razali Idris berkata isu itu timbul disebabkan ketidaksamarataan akses internet, kekurangan peranti teknologi untuk pelajar dan guru sehingga membebankan ibu bapa.

“Isu PdPR telah mencetuskan satu fenomena nasional hampir seminggu lalu...ia melibatkan kelompok B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kaukus ini secara tegas memohon GLC dan MNC berkaitan telekomunikasi menunjukkan sikap solidariti dengan memberi pakej internet dan telefon pintar dengan harga patut serta kepenggunaan yang disesuaikan dengan PdPR selain pemberian data tanpa had bagi sistem capaian internet.

“Badan yayasan yang ada dan seluruh wakil rakyat juga perlu tampil membantu kumpulan bersasar ini untuk mendepani permasalahan PdPR dan isu yang sangat serius dalam capaian internet,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama Razali berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi termasuk melipatgandakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta memobilisasikan logistik dan kenderaan pembekalan internet ke kawasan capaian internet yang sukar didapati.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu menyegerakan senarai atau data untuk mengenal pasti pelajar yang tiada peranti teknologi menerusi pangkalan data sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya.

Menurut beliau menerusi Dapatan Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian (Online Learning) yang dijalankan pada pertengahan 2020, didapati lebih 30 peratus atau kira-kira 280,000 pelajar tidak mempunyai peranti untuk mengikuti PdPR.

“Kajian melibatkan 670,118 responden yang merupakan ibu bapa kepada 893,331 pelajar menunjukkan enam peratus pelajar memiliki komputer peribadi, 9.3 peratus pelajar memiliki komputer riba, 5.8 peratus pelajar memiliki tablet dan 46.5 peratus pelajar memiliki telefon pintar.

“Sepatutnya, KPM telah bersedia lebih awal dalam mengendalikan krisis komunikasi pendidikan bagi pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.

Menurut beliau, cabaran PdPR dalam pendidikan negara perlu ditangani sebaiknya kerana boleh mempengaruhi prospek hidup dan mobiliti sosial jangka masa panjang, selain memberi impak kepada kesihatan fizikal dan mental sesebuah keluarga.

“Justeru, satu usaha melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital antara segenap lapisan masyarakat perlu dilakukan dengan segera. Sekiranya tidak, kesan jangka panjang akan meluaskan jurang ketidaksamaan dan menyebabkan lebih ramai anak tercicir,” katanya.

-- BERNAMA