Suri Rumah Rugi RM2.08 Juta Ditipu Sindiket Menyamar Pegawai Polis Berpangkat Datuk

PUTRAJAYA, 26 Jan (Malaysiaaktif) - Seorang suri rumah kerugian RM2.08 juta akibat ditipu sindiket 'Macau Scam', yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat 'Datuk' dengan mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penjualan dadah dan penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan, berkata wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang kononnya bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang, pada 10 Jan lepas.

Beliau berkata wang berkenaan merupakan simpanan mangsa dan wang wasiat peninggalan keluargannya.

“Melalui aplikasi WhatsApp, suspek menunjukkan kepada mangsa waran tangkap dan surat pembekuan aset, selain mengarahkan wanita itu memberikan butiran akaun bank bagi tujuan siasatan. Dia yang dalam keadaan ketakutan, memberikan butiran akaun bank kepada suspek.

“Mangsa turut memberikan nombor ‘One Time Password’ (OTP) enam digit kepada suspek, sebelum mula berasa curiga dan merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata pihak bank kemudian memaklumkan bahawa terdapat 164 kali transaksi pemindahan wang melalui 'DuitNow', berjumlah RM2.08 juta ke 16 akaun bank berbeza, sebelum membuat laporan polis selepas menyedari ditipu.

Katanya semakan polis menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule mendapati, nombor telefon yang digunakan suspek iaitu 014-7410772 terlibat dengan 13 laporan lain, melibatkan modus operandi sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA