‘Kuale Car Free Nite’ Pertama di Kuala Kangsar

Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel/Shahrul Azril Sulaiman (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) mengambil inisiatif untuk melancarkan Program ‘Kuale Car Free Nite: Ape Habor Kome?’ yang memberi kesedaran kepada masyarakat setempat kepentingan mengurangkan pelepasan asap kereta.

Yang Dipertua MPKK Zulqarnain Mohamad, berkata objektif utama program seumpama ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dalam melestarikan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan asap kereta ke udara.

“Ini merupakan salah satu kempen untuk menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat walaupun program disiarkan secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak, di sini semalam.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah segmen cergas cerdas yang mana menarik penonton untuk bersenam, segmen pelancongan dengan memperkenalkan aktiviti kraftangan yang terkenal di Perak khususnya dalam daerah Kuala Kangsar, Sembang Santai bertajuk Mengharungi Pandemik COVID-19 dan segmen Kuala Berlabun menampilkan Pegawai Daerah Kuala Kangsar.

“Kesemua acara ini disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook MPKK untuk menarik minat penonton di luar sana bagi menyaksikan acara yang julung kali diadakan secara dalam talian,” kata Zulqarnain.

Siaran langsung program berkenaan meraih lebih daripada 6 ribu penonton dan 272 tanda suka.

-SH