APMM Labuan Patahkan Cubaan Rompak Kapal

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasa Maritiam Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan, berjaya mematahkan cubaan rompakan di sebuah kapal penyimpanan minyak yang terletak kira-kira 9 kilometer dari Labuan, semalam.

Kejadian bermula apabila seorang anak kapal mengesan sebuah bot mencurigakan kira-kira pukul 9.45 pagi menghampiri kapal dan terus menghubungi Pusat Kawalan untuk melaporkan kejadian tersebut sebelum dua orang penceroboh berjaya menaiki kapal dengan membawa senjata tajam.

Menurut seorang lagi anak kapal yang menyedari kejadian tersebut, beliau berjaya melarikan diri lalu menghubungi pusat kawalan untuk meminta bantuan.

"Dua orang penceroboh itu mengikat seorang anak kapal dan mula menggeledah kawasan kapal untuk mencari barang-barang berharga, menyedari kehadiran mereka dikesan pusat kawalan, mereka mula menuntut wang tebusan sebanyak RM100 ribu," katanya.

Bertindak atas maklumat, Zon Maritim Labuan menggerakkan aset Penggalang 24 dan Kilat 23 ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat.

Pasukan Zon Maritim Labuan memujuk penceroboh membebaskan tebusan sebelum terjadinya pergelutan. Pasukan Zon Maritim Labuan memujuk penceroboh membebaskan tebusan sebelum terjadinya pergelutan.



Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Nudin Jusoh, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10.50 pagi, sepasukan anggota Zon Maritim Labuan berjaya naik ke atas kapal dan berjaya mengesan seorang penceroboh bersama seorang anak kapal yang dijadikan tebusan manakala seorang lagi penceroboh masih menyembunyikan diri.

"Pihak Zon Maritim Labuan terpaksa bergelut dengan penceroboh tersebut sebelum berjaya memberkasnya sekaligus menyelamatkan tebusan, manakala seorang lagi penceroboh yang dapat dikesan di bahagian lain kapal itu menunjukkan sikap agresif dan mengugut untuk terjun ke laut bagi melarikan diri.

"Penceroboh nekad terjun ke dalam laut namun sebuah bot Zon Maritim Labuan sudah bersedia dan berjaya menahannya.

"Sementara itu, tebusan tadi diselamatkan dan dibawa untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui, di sini.

Babak-babak mencemaskan itu adalah senario Exercise ZML-ISC bagi tahun 2021 anjuran International Shipcare (ISC) Sdn Bhd dengan kerjasama Zon Maritim Labuan dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Pravin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Nudin semasa majlis penutupan Exercise ZML-ISC. Pravin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Nudin semasa majlis penutupan Exercise ZML-ISC.



Menurut pengarah urusan syarikat perkapalan tersebut Pravin Raina, latihan itu bertujuan melihat keberkesanan kerjasama antara Pasukan Respon Kecemasan ISC dan pihak berkuasa seperti Zon Maritim Labuan dalam menguruskan kejadian yang tidak diingini.

“Sebagai peneraju industri Lay-up, ISC berharap pada masa akan datang kami dapat bekerjasama dengan jabatan-jabatan yang lain seperti JPDS, Polis Marin, Bomba dan Jabatan Laut bagi memastikan standard dari aspek kerja mahupun keselamatan di kawasan perairan Teluk Brunei dan juga perairan Labuan diteruskan,” katanya semasa majlis penutupan latihan tersebut, semalam.

Sementara itu, Nudin Jusoh berkata latihan itu amat bermakna dan berguna kepada pegawai serta anggota untuk mempraktikan pembudayaan norma baharu dalam konsep pelaksanaan operasi meliputi skop penggeledahan, penahanan, tangkapan dan carilamat maritim.

“Saya percaya, latihan ini adalah amat penting bagi kedua belah pihak dalam memastikan keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta penambahbaikan terhadap kelemahan-kelemahan yang sedia ada selain memantapkan keyakinan serta susunan chain of command agar sebarang insiden diselesaikan dengan lebih cekap dan teratur,” katanya.

-SH