Warga Segamat Siap Sedia Terima Suntikan Vaksin Awal Mac 2021

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan/Muhammad Nazriq Hakimi Abdul Gani (Segamat)

SEGAMAT, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Segamat telah melakukan pelbagai persiapan dan sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menerima suntikan vaksin Pfizer fasa pertama awal Mac nanti.

Menurut Pegawai Kanan Kesihatan Daerah Segamat Zaid Kasim, pelbagai persiapan telah dibuat dari pelbagai sudut dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.

"Persiapan bagi melancarkan program imunisasi COVID-19 di daerah Segamat ini telah dibuat bagi memastikan ia berjalan lancar mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Pada hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Negeri Vidyananthan Ramanadhan, serta Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali turut turun padang bagi melihat sendiri persiapan yang telah dibuat di sini," katanya ketika ditemui semalam.

Tambah beliau, pada ketika ini situasi COVID-19 di daerah Segamat semakin berkurangan di mana zon-zon yang sebelum ini diklafikasikan sebagai zon merah telah berubah ke jingga dan hijau disebabkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh masyarakat setempat yang semakin meninggi.

“Kita perlu patuh arahan yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara(MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) supaya kita tidak menjadi penyebar atau pembawa virus COVID-19.

"Saya menyeru kepada mereka yang tinggal di zon hijau untuk terus kekal di zon masing-masing dan jangan sesekali cuba untuk merentas daerah atau negeri yang berstatus merah," ujarnya.

Zaid berharap, dengan pengambilan vaksin dalam kalangan anggota kesihatan serta anggota barisan hadapan dapat melindungi mereka dan orang ramai daripada jangkitan COVID-19.

Ketua Pasukan Petugas Program Vaksinasi COVID-19 Farah Nurulhuda Anuar, yang ditemui berkata beliau amat teruja dengan penganjuran program imunisasi COVID-19 peringkat daerah Segamat pada hari ini kerana ia julung kali diadakan sejak wabak COVID-19 melanda negara tahun lepas.

“Di daerah ini, pemvaksinan telah dibahagikan kepada kepada tiga fasa dengan mengikut kumpulan sasar yang ditetapkan.

"Pemberian vaksin fasa pertama akan melibatkan seramai 1,237 orang terdiri daripada anggota barisan hadapan, penjawat awam bukan kesihatan dan swasta,” ujarnya.

Tambahnya, fasa kedua akan membabitkan kumpulan berisiko tinggi iaitu yang berusia 60 tahun dan ke atas, serta mempunyai penyakit komorbiditi seperti kencing manis dan darah tinggi, manakala bagi fasa ketiga akan melibatkan warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan tiada komorbiditi atau penyakit kronik.

“Saya berharap agar program vaksinasi untuk fasa pertama ini akan berjaya berikutan ia akan menjadi sebagai pemangkin kepada fasa seterusnya.

"Semua pihak perlu faham tentang matlamat KKM dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat khususnya,” katanya.

-NI