Firma Penyelidikan Kekalkan Saranan 'Neutral' untuk Sektor Telekomunikasi

PUTRAJAYA, 22 Feb (Malaysiaaktif) –Syarikat-syarikat penyelidikan terus mengekalkan saranan ‘neutral’ masing-masing ke atas sektor telekomunikasi (telco) meskipun selepas kerajaan memperkenalkan MyDIGITAL serta mempercepatkan pelancaran rangkaian Generasi Kelima (5G).

CGS-CIMB berkata akses yang sama di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital menunjukkan tidak akan ada perbezaan rangkaian 5G dalam kalangan syarikat telekomunikasi walaupun tiga telco besar yang ada masih mempunyai kualiti rangkaian keseluruhan yang baik pada tahun-tahun awal kerana pelanggan akan kembali menggunakan 4G di kawasan bukan liputan 5G.

"Dalam jangka masa panjang, peserta yang lebih kecil mungkin dapat merapatkan jurang dengan tiga telco besar itu serta berpotensi memberikan tekanan (menurun) kepada harga runcit. Namun, kami berpendapat ini akan diimbangi oleh keuntungan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi yang lebih rendah bagi pengendali melalui mod infrastruktur bersama ini, ” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengenai rancangan jentera tujuan khas (SPV) kerajaan untuk melabur RM15 bilion bagi melancarkan 5G secara berperingkat bermula akhir tahun 2021, lebih awal daripada sasaran JENDELA, firma penyelidikan itu menyatakan SPV akan menyelesaikan isu konsortium syarikat infrastruktur rangkaian (NetCo) sebelumnya yang mempunyai terlalu banyak pemegang saham dan ini dapat mempermudahkan pelaksanaannya dengan lebih cepat.

Kenanga Investment Bank Bhd turut berpandangan sama dan memberikan saranan ‘neutral’ kepada sektor ini.

Ia berkata tidak seperti model tradisional spektrum milik telco, model SPV mengurangkan peluang bagi syarikat telekomunikasi untuk membezakan diri antara satu sama lain dalam penawaran 5G masing-masing dan ini memungkinkan pendatang baharu memasuki jaringan, sekali gus meletakkan alasan untuk persaingan harga yang berlanjutan dalam ruang mudah alih.

"(Kami juga) maklum anggaran pelaburan RM15 bilion ke atas SPV dalam jangka waktu 10 tahun kemungkinan akan memberi tumpuan kepada kawasan bandar yang lebih padat pada tahap awal, dengan matlamat melancarkan 5G ke seluruh kawasan berkepadatan tinggi menjelang 2023,” tambahnya.

-- BERNAMA