Melakaku Bermunajat Mohon Kesejahteraan Rakyat

Laporan/foto: Mohd Iswadi Abdul Hamid (Melaka)

MELAKA, 21 Feb (Malaysiaaktif) –Kerajaan negeri hari ini mengadakan Program Melakaku Bermunajat secara dalam talian ekoran daripada pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan dan program ini turut disertai oleh 41 buah masjid, 20 buah madrasah tahfiz serta 10 buah sekolah agama di Melaka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, merakamkan ucapan terima kasih kepada para pendidik yang sedang rancak melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sebagai alternatif pembelajaran norma baharu yang dilaksanakan tanpa mengenal erti jemu.

"Mari kita mengembleng tenaga serta berganding bahu dalam usaha memutuskan penularan wabak COVID-19 dan insya-Allah, berkat kerjasama daripada semua pihak, kita akan dapat kembali hidup dengan lebih makmur dan selesa, Melaka terus maju jaya, rakyatnya bahagia sekali gus menggamit dunia.

"Program ini turut mendoakan semua calon peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan bermula tidak lama lagi," katanya sempena Majlis Melakaku Bermunajat : COVID-19 di bangunan Seri Bendahara, kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka, di sini baru-baru ini.

-RJ