200 Pelajar Terima Tablet, Komputer Riba Percuma

Laporan/foto: Wan Arif Fadhila Wan Yusof/Taufiq Firdaus Md.Nor (Besut)

BESUT, 22 Feb (Malaysiaaktif) - Kesukaran kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) telah memberi impak kepada sebilangan keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya kepada keluarga yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Seramai 200 orang pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan Hulu Besut di sini menerima bantuan sebuah tablet dan komputer riba daripada Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi Yahya turut bersama Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh (tengah) turun padang mengagihkan bantuan peranti tersebut, baru-baru ini. Ahli DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi Yahya turut turun padang mengagihkan bantuan peranti tersebut, baru-baru ini.



"Dalam fasa pertama, keutamaan bantuan ini diberikan kepada keluarga yang majoritinya daripada kalangan petani dan nelayan," katanya yang ditemui semasa mengagihkan peranti tersebut kepada keluarga kurang berkemampuan di sebuah kampung di Hulu Besut, di sini baru-baru ini.

Menurut Idris yang juga Pengerusi FELDA, agensi itu turut menyediakan Sistem Kelas Pintar (Smart Classroom) yang melibatkan 101 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Idris Jusoh (kiri) bersama Abdullah Zawawi Yahya (kanan) ketika menyampaikan tablet kepada pelajar. Idris Jusoh (kiri) bersama Abdullah Zawawi Yahya (kanan) ketika menyampaikan tablet kepada pelajar.



"FELDA memperuntukkan RM2.98 juta bagi mewujudkan kelas pintar berkenaan untuk menyediakan kelengkapan termasuk komputer, televisyen, penghawa dingin dan makmal.

"Pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan dan pembelajaran secara digital dalam kalangan pelajar luar bandar," katanya.

Dua beradik dari Sekolah Kebangsaan Pancor, Hulu Besut antara pelajar yang menerima tablet daripada Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh. Dua beradik dari Sekolah Kebangsaan Pancor, Hulu Besut antara pelajar yang menerima tablet.



Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi turut hadir bersama mengagihkan bantuan peranti tersebut.

-ii-