Alumni Bantu Kecemerlangan Sekolah

Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban)/Abd Ghani Zainuddin

SEREMBAN, 23 Februari (Malaysiaaktif) – Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Seliau Baru, Rantau tampil memberikan khidmat bakti kepada sekolah mereka baru-baru ini.

Penyampaian sumbangan berupa 100 rim kertas A4 untuk digunapakai oleh sekolah bagi kegunaan pembelajaran murid-murid telah diadakan di tapak perhimpunan sekolah.

Ketua alumni Halim Harun, 65 mengatakan usaha ini merupakan inisiatif yang telah dirancang oleh Alumni SK Seliau bagi mengeratkan hubungan bekas pelajar dengan pihak sekolah, serta menyumbang ke arah pembangunan menyeluruh akademik, kokurikulum dan kebajikan warga sekolah.

“Alumni ini akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengenalpasti pelajar yang memerlukan bantuan akademik dan bahan pembelajaran dan saya percaya semua program yang kita rancang ini akan dapat dilaksanakan dengan usaha dan kerjasama semua bekas pelajar," katanya ketika ditemui sekolah tersebut, di sini.

Guru Besar SK Seliau, Azman Ambia, 53, amat berbangga bekas pelajar SK Seliau sudi memberikan sumbangan dan menghasilkan ramai pelajar cemerlang dan berjaya dalam bidang masing-masing.

“Sebagai Guru Besar disini, saya rasa bertuah dan berterima kasih kerana telah terpilih untuk menerima sumbangan dari alumni SK Seliau dan saya berharap kita dapat bersama-sama merealisasikan rancangan alumni demi kebaikan dan manfaat semua warga sekolah,” ujarnya.

-FF