Jatuh Bangun Peniaga dan Penjaja Musim Pandemik

Laporan/foto: Siti Hajar Kamis (Seremban)

SEREMBAN, 23 Feb (Malaysiaaktif) - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepanjang tahun 2020 dan 2021 sedikit sebanyak telah menyebabkan sektor ekonomi negara lumpuh seketika dan antara yang terkesan adalah peniaga-peniaga kecil serta pengusaha makanan di daerah sini.

Menurut salah seorang peniaga Eklmal Zali, 29, beliau meluahkan rasa syukur kerana kini kerajaan membenarkan para peniaga kembali beroperasi sehingga lewat malam.

“Saya amat bersyukur kerana kami telah dibenarkan beroperasi sehingga malam kerana waktu perniagaan sebelum ini agak singkat di mana ia membataskan waktu untuk orang ramai datang ke gerai saya dan ia sedikit sebanyak mengganggu jumlah pendapatan harian saya,” ujarnya.

Peniaga pasar malam yang juga merupakan ibu tunggal, Aimah Mokhtar, 59, menyatakan sepanjang beberapa tahun berniaga beliau tidak pernah mengalami situasi seperti ini di mana peniaga langsung tidak dibenarkan berniaga.

“Saya berasa tertekan kerana berniaga adalah sumber pendapatan utama untuk saya meneruskan kehidupan dan mujur saya mempunyai simpanan untuk menampung perbelanjaan harian saya serta keluarga,” katanya.

Bagi Zuraini Kathal, 45, yang telah mengusahakan perniagaan sejak 20 tahun lalu meluahkan rasa hampa dan sedih kerana terpaksa menghentikan perniagaannya di pasar malam dan menjaja berikutan larangan berniaga akibat pelaksanaan PKP sebelum ini.

“Saya terpaksa memberhentikan sementara perniagaan saya kerana penularan wabak ini dan cuba berniaga melalui media sosial bagi menjana pendapatan dan saya berasa sangat bersyukur kerana platform media sosial yang saya gunakan sangat membantu dari segi pemasaran popia yang saya usahakan namun setelah kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB pada 19 Feb lalu saya telah dapat berniaga seperti biasa,” katanya.

-FF