3754 Calon Duduki Peperiksaan SPM di Negeri Perlis

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

ARAU, 23 Feb (Malaysiaaktif) - Seramai 3754 orang calon menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 di negeri ini yang bermula semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN) Naharudden Othman, peperiksaan SPM 2020 ini akan berlangsung selama 17 hari bermula 22 Februari hingga 25 Mac 2021.

"Ini merupakan satu sejarah baharu kerana calon SPM 2020 terpaksa mengambil peperiksaan pada tahun ini berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

"Pada hari ini, peperiksaan dimulakan dengan mata pelajaran teras terlebih dahulu dan disusuli mata pelajaran elektif," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad Arau, di sini semalam.

Calon perlu melalui proses saringan suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk dalam dewan peperiksaan. Calon perlu melalui proses saringan suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk dalam dewan peperiksaan.



Tambah beliau, Sektor Pentadbiran dan Peperiksaan JPN Perlis juga telah menguruskan 36 pusat peperiksaan yang terdiri daripada dewan sekolah dan bilik darjah termasuk satu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

"Selain itu, seramai 283 orang petugas yang terdiri daripada cikgu sekolah menengah dan rendah serta lapan orang penyelia kawasan terlibat dalam menguruskan SPM 2020.

"Pada kali ini, calon SPM 2020 terdiri daripada 3198 calon sekolah, 267 orang calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau dan Beseri, 88 calon dari Kolej Vokasional,108 calon swasta dan 93 orang calon persendirian," ujarnya.

Tinjauan di salah sebuah sekolah mendapati calon-calon mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan perlu mengisi borang pengesahan kesihatan sebelum memasuki tempat peperiksaan.

-NI