10 Huffaz Sertai Program TVET Tahfiz IKM Sik

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)

SIK, 5 April (Malaysiaaktif) - Seramai 10 pelajar Ma’ahad Al Tarbiah Al Islamiah Al Wataniah, Pondok Begia di sini berjaya mengikuti sesi latihan Pendawaian Elektrik Satu Fasa menerusi program kerjasama kursus latihan kemahiran dan teknikal, Institut Kemahiran MARA (IKM) Sik.

Menurut Pengarah IKM Sik Idris Alias, program ini diharap dapat membantu pelajar menimba pengetahuan sebagai usahawan serta membuka ruang kepada mereka untuk menceburi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan meluaskan latihan kemahiran mengikut keperluan industri semasa.

"Program ini bertujuan mempromosikan IKM Sik dan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) sebagai salah satu penggerak Program TVET-Tahfiz di Malaysia dan pada masa yang sama dapat merealisasikan hasrat Menteri Besar Kedah untuk menjadikan Kedah sebagai negeri perintis Program TVET Tahfiz.

Pelajar-pelajar Tahfiz menyertai kursus latihan kemahiran dan teknikal di IKM Sik. Pelajar-pelajar tahfiz menyertai kursus latihan kemahiran dan teknikal di IKM Sik.



“Di samping itu, program ini diharap dapat melengkapkan pelajar dengan dua bidang pendidikan sekaligus, iaitu tahfiz dan kemahiran agar pelajar mempunyai nilai tambah dalam mencari pekerjaan kelak.

"Kemahiran tersebut juga boleh digunakan sebagai nilai tambah dari segi kemahiran pada masa akan datang untuk menambahkan pendapatan sebagai teknotvet,” ujarnya ketika dihubungi di institut tersebut, di sini kelmarin.

Idris berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa TVET adalah bidang yang 'terbelakang' harus dikikis kerana graduannya terbukti sering mendapat tempat dalam industri serta kebolehpasaran yang tinggi.

~ RJ~