Syarikat Swasta Dipelawa Sertai Pembangunan Produk Pelancongan di Putrajaya

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 6 April (Malaysiaaktif) -Syarikat swasta berpeluang menyertai pembangunan produk pelancongan di Putrajaya, dengan memberi nilai tambah terhadap kemudahan sedia ada atau mewujudkan produk pelancongan baharu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) terbuka kepada idea pembangunan yang ingin diketengahkan syarikat swasta namun mereka mesti memastikan nilai alam sekitar di sesuatu kawasan pelancongan kekal terpelihara.

"Kita ingin mengundang dan menggalakkan penyertaan pihak swasta, sama ada menggunakan fasiliti sedia ada kemudian diberi nilai tambah dengan pendekatan komersial atau membangunkan beberapa produk pelancongan yang baharu," katanya.

Sebagai contoh, katanya penyertaan pihak swasta dibuka untuk Taman Wetland untuk diberi nilai tambah supaya boleh diuruskan secara komersial untuk menarik lebih ramai pengunjung dan bukan menukarkannya kepada tempat komersial.

Menurutnya, PPj telah menerima cadangan daripada beberapa syarikat swasta tempatan untuk membangunkan produk glamping di Taman Wetland dan syarikat yang terpilih dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan hujung tahun ini.

PPj juga ada menerima cadangan daripada beberapa syarikat swasta untuk membina Safari Park di atas tanah berkeluasan 160 ekar di Presint 19 dengan anggaran kos RM500 juta, katanya.

“Kita ingin melihat kreativiti, kami bersikap telus dan kami ingin memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin datang dan membawa Putrajaya ke tahap seterusnya sejajar dengan dasar kami menjadikan Putrajaya sebagai bandar rekreasi utama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengemukakan cadangan bagi membantu kelangsungan para peniaga di Kuala Lumpur selepas berakhirnya tempoh Wilayah Bebas Berniaga.

“Kami mahu DBKL membuat penilaian seterusnya...mesti ada langkah tertentu yang perlu diambil pada kemudian hari.

"Sebahagian besar peniaga ingin terus berniaga dan kami harus mencari lokasi di mana kami dapat membina gerai yang sesuai agar mereka dapat terus menjalankan perniagaan,” katanya.

Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga, yang membolehkan warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berniaga, dilaksanakan selama enam bulan bermula 15 Nov lepas sehingga 15 April ini.

-- BERNAMA