Cadangan Bangunan Pusat Khidmat Komuniti di Putatan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 6 April (Malaysiaaktif) - Sebuah bangunan Pusat Khidmat Komuniti dicadang diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat di daerah Putatan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya, berkata bangunan ini akan digunakan sebagai pusat operasi pengumpulan dan agihan bahan-bahan bantuan serta sumbangan daripada pelbagai pihak sekiranya berlaku bencana terutama di daerah Putatan dan daerah sekitarnya.

“Cadangan ini timbul dengan mengambil kira apa yang berlaku pada gelombang pertama pandemik COVID-19 yang melanda negara, yang mana terdapat kesukaran untuk mencari tempat menyimpan bahan sumbangan serta mengagih bantuan makanan kepada masyarakat yang memerlukan di daerah Putatan baru-baru ini.

“Dengan adanya bangunan seperti ini, ia boleh digunakan sebagai pusat sehenti bagi penyumbang mahupun penerima untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku bencana, selain daripada itu bangunan ini juga dicadang akan digunakan sebagai tempat bagi badan sukarela menjalankan aktiviti serta melatih golongan belia untuk turut serta menyertai badan kesukarelaan.

“Lokasi bangunan ini masih belum ditetapkan kerana ia masih di peringkat cadangan,” jelas beliau ketika menerima kunjungan hormat rombongan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Putatan yang diketuai pengerusinya Nanih Abah di pejabat beliau di Wisma Tun Fuad Stephens, di sini semalam.

Ir Shahelmey menunjukkan portfolio BSMM Daerah Putatan yang diserahkan kepada beliau. Ir Shahelmey menunjukkan portfolio BSMM Daerah Putatan yang diserahkan kepada beliau.



Kunjungan tersebut diadakan bagi memperkenalkan barisan kepimpinan BSMM Daerah Putatan kepada Ir Shahelmey yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat serta memaklumkan aktiviti-aktiviti kesukarelaan yang telah dan sedang dijalankan kepada beliau.

Pada kunjungan tersebut Setiausaha Kehormat BSMM Daerah Putatan, Jerome Conahap turut memaklumkan bahawa terdapat keperluan yang tinggi di daerah tersebut bagi perkhidmatan ambulans bagi kegunaan masyarakat terutama pada waktu malam.

Menurut beliau, pada masa kini perkhidmatan ambulans daripada Klinik Kesihatan Putatan hanya beroperasi sehingga 9 malam dan selepas waktu tersebut perkhidmatan ambulans hanya boleh diperolehi daripada Hospital Queen Elizabeth.

“Bagi kes-kes kecemasan perkhidmatan ini amat diperlukan oleh masyarakat di daerah Putatan terutama bagi mengambil atau menghantar pesakit ke hospital yang berhampiran.

“Oleh sebab itu pihak BSMM Daerah Putatan amat berharap agar ada mana-mana pihak atau agensi korporat yang sudi menyumbangkan sebuah ambulans kepada BSMM Daerah Putatan untuk kegunaan semasa bencana serta masyarakat yang memerlukan.

"Kami turut memerlukan sebuah bangunan sendiri untuk dijadikan sebagai pejabat bagi tujuan pentadbiran, pusat latihan sukarelawan serta tempat menyimpan aset dan logistik bagi tujuan bencana dan kecemasan," katanya.

-RI