Jumlah Pendaftar Vaksin Sabah Masih Rendah - Noor Hisham

Laporan/foto: Jeanne J. Som/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

TUARAN, 6 April (Malaysiaaktif) - Jumlah pendaftar vaksinasi di Sabah masih rendah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semua agensi yang terlibat perlu mempelbagaikan usaha serta kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin di negeri ini.

"Buat masa sekarang, program vaksinasi yang kita laksanakan adalah vaksin jenis Pfizer untuk individu yang berumur 18 tahun ke atas dan setakat semalam, jumlah rakyat Sabah yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera tidak sampai 400,000 orang berbanding jumlah keseluruhan penduduk iaitu 2.9 juta orang.

"Kaedah yang digunakan perlu dipelbagaikan supaya pendaftaran dan pemberian vaksin kepada masyarakat dapat ditingkatkan.

"Aktiviti turun padang seperti di masjid-masjid perlu dilaksanakan untuk membantu masyarakat mendaftar menggunakan MySejahtera ataupun kita boleh bantu mereka daftar secara manual di klinik-klinik kesihatan berhampiran," katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke hospital swasta dan Hospital Tuaran bagi meninjau kesiapsiagaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), di sini kelmarin.

Menurut Dr. Noor Hisham, hospital akan menjadi PPV kepada kes-kes yang berisiko tinggi, jadi kesiapsiagaan di hospital swasta adalah amat baik.

SOKONG... Seorang jururawat (duduk) diberi suntikan vaksin, sambil diperhatikan oleh Noor Hisham (dua kiri). SOKONG... Seorang jururawat (duduk) diberi suntikan vaksin, sambil diperhatikan oleh Noor Hisham (dua kiri).



"Kita telahpun mengenal pasti lapan buah hospital swasta di Sabah untuk dijadikan PPV.

"Hospital Tuaran juga akan menjadi salah satu PPV kepada kumpulan pesakit yang mendapatkan rawatan hemodialisis dan mereka yang ada penyakit tidak berjangkit, yang tidak terkawal dan yang berisiko tinggi.

"Manakala, bagi pesakit yang mempunyai risiko rendah, vaksinasi dilakukan di klinik kesihatan ataupun klinik swasta," tambah beliau.

Ditanya mengenai jaminan kepada keselamatan apabila kerajaan membenarkan banyak sektor ekonomi beroperasi, Dr. Noor Hisham menjelaskan, ia bergantung kepada tahap pematuhan individu terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sekarang ini, kita menggunakan dua kaedah iaitu kaedah kesihatan awam yang terbukti berjaya melandaikan keluk COVID-19 dari gelombang kedua hanya menggunakan kaedah kesihatan awam sebab vaksin tak masuk lagi.

"Jadi, kalau kita patuh kepada kaedah kesihatan awam, kita boleh melandaikan contohnya kita melaksanakan PKP 2.0 dan dalam tempoh empat hingga lima minggu kita mampu melandaikan gelombang ketiga," katanya.

Dr. G Mohan (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Noor Hisham (kanan). Pengarah Hospital Tuaran Dr. G Mohan Gopal Naidoo (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Noor Hisham (kanan).



-RI