Nelayan Terima Mini Slipway dan Coldroom di Marang

Laporan/foto: Afnan Hakimi/Norhasirah Deris (Marang)

MARANG, 7 April (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, merasmikan pusat baiki bot (mini slipway) dan bilik sejuk (coldroom) di daerah ini bagi memudahkan pembaikian kerosakan kecil bot nelayan dan tempat simpanan bekalan makanan laut dalam negeri sebagai persediaan menyimpan hasil laut untuk musim tengkujuh.

Samsuri memaklumkan, sebelum ini golongan nelayan terpaksa membaiki bot di slipway swasta dan ada antara mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan membaiki bot.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berucap di Pekarangan bilik sejuk (Coldroom) di LKIM Marang. Samsuri ketika berucap di pekarangan bilik sejuk  di LKIM Marang.



“Persetujuan untuk membaik pulih jeti bersebelahan tapak pusat baiki bot Marang diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

"Melalui peruntukan sama, kerajaan negeri turut memasukkan cadangan pembinaan kedai makan, surau dan tandas bagi memenuhi keperluan nelayan di Marang dan pada masa yang sama memerlukan jeti yang sedia ada dinaiktaraf untuk menampung jumlah hasil laut yang bertambah.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan replika kunci kepada Pengarah LKIM, Mastam Nodo. Samsuri (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Pengarah LKIM, Mastam Nodo (dua dari kanan).



"Mereka yang dianggap sebagai ‘pahlawan sumber makanan’ telah memberi sumbangan yang sangat besar terhadap negeri dan masyarakat dalam sektor perikanan bagi mengekalkan sumber laut kepada rakyat Terengganu," katanya ketika ditemu ramah selepas merasmikan bilik sejuk di hadapan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, ketika ditemui selepas majlis perasmian berharap agar kemudahan yang telah disumbangkan oleh pihak kerajaan negeri digunakan sebaik mungkin oleh kumpulan nelayan di sini.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berharap kemudahan digunakan sebaik mungkin oleh para nelayan. Tun Ahmad Faisal berharap kemudahan digunakan sebaik mungkin oleh para nelayan.



Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri Samiun Salleh, Pengarah LKIM Mastam Nodo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong.

-ii-