RM97.37 Juta Disalur Bantu 324,573 Penerima

Laporan/foto: Bustan Made Aming/Johny George Kimlon (Kota Kinabalu)

TUARAN, 7 April (Malaysiaaktif) - Kerajaan negeri menyalurkan RM97,371,900 kepada 324,573 penerima menerusi Bantuan Prihatin COVID-19 2.0 bagi meringankan beban penduduk setempat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah tersebut merupakan bantuan tunai sekali beri sebanyak RM300 kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain agihan 296,638 bakul makanan atau kira-kira 93.93 peratus kepada penerima.

"Kerajaan negeri prihatin terhadap nasib rakyat dan diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban yang mereka tanggung.

“Pada tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM160 juta termasuk bantuan sekali beri dan bakul makanan yang telah diagihkan kepada rakyat yang memerlukan,” ujarnya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Bantuan Bakul Makanan di Kampung Serusup, di sini semalam.

Pada program itu, Hajiji turut menyampaikan 300 bakul makanan sumbangan syarikat telekomunikasi kepada masyarakat sekitar daerah berkenaan.

Hadir sama pada program tersebut ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Pegawai Daerah Beluran Tuan Sadan Hussain, Ketua Wilayah Maxis Sabah Bhaarathyraja Thanapal, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah Dayang Rogayah Awang Besar serta Ketua-ketua komuniti tempatan.

Hajiji (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dan bakul makanan kepada salah seorang penduduk kampung Serusup. Hajiji (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dan bakul makanan kepada salah seorang penduduk kampung Serusup.



-RI