Bomba Berjaya Selamatkan Tiga Pendaki Wanita Cedera

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JBPM Selangor

HULU LANGAT, 7 April (Malaysiaaktif) - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya membawa turun tiga pendaki wanita yang cedera ketika mendaki Gunung Nuang, di sini.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.34 petang pada Selasa dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi kejadian.

"Seramai 38 peserta mengikuti pendakian tersebut yang dipecahkan kepada dua kumpulan kecil selepas salah seorang daripadanya cedera di pergelangan kaki.

"Dua lagi peserta turut mengalami kekejangan di kaki ketika mereka meneruskan perjalanan.

"Mangsa yang cedera adalah Amal Nur Izzah Syamsul Fauzy, 21 yang terseliuh pergelangan kaki serta Siti Shakira Samaludin, 25 dan Nurul Izatul Ain Wan Ahmad, 25 mengalami kekejangan otot," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera bersama lapan peserta diarahkan berkumpul di Kem Lolo untuk tindakan menyelamat sementara peserta lain selamat sampai ke kem utama.

"Ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa turun secara berperingkat bermula pukul 5.23 pagi dan yang terakhir pada 6.09 pagi tadi.

"Mangsa pertama yang berjaya dibawa turun adalah Nurul Izatul Ain pada pukul 5.23 pagi sementara Amal Nur Izzah 6 pagi dan terakhir Siti Shakira pada pukul 6.09 pagi," katanya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.30 pagi.

-RI