Nuzul al-Quran dalam Suasana Norma Baharu

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Johny George Kimlon (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 7 April (Malaysiaaktif) – Sambutan Nuzul al-Quran akan diimarahkan di semua masjid dan surau di negeri ini dalam suasana norma baharu.

Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Arifin Mohd Arif, agensi agama seperti Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyusun program sempena Ramadan ini termasuk sambutan Nuzul al-Quran sesuai dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, program tersebut tidak akan diadakan di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Seperti kelazaimannya, JHEAINS akan meneruskan program-program berbentuk keilmuan kerana bulan ramadan ini adalah bulan ilmu pengetahuan.

"Kita akan menganjurkan Istifal Nuzul al-Quran dengan seminar-seminar, pertandingan-pertandingan yang sesuai dengan SOP untuk menyemarakkan bulan ramadan.

"Ini membolehkan umat Islam mengimarahkan seluruh masjid dan surau sepanjang ramadan terutama sambutan Nuzul al-Quran, kecuali bagi daerah yang dikenakan PKP," katanya.

Tambah Arifin, selain itu Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga akan melaksanakan program bantuan kepada fakir miskin dan menyesuaikannya dengan pembudayaan norma baharu.

Mengenai solat tarawih yang kini dibenarkan di masjid, beliau menjelaskan, JHEAINS akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa menerusi penyelia, imam dan jawatankuasa masjid.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kurma kepada empat agensi petugas bariasan hadapan antaranya Polis Kontinjen Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sempena Majlis Pelancaran "Marhaban Ya Ramadan 1442H" di Wisma MUIS, di sini hari ini.

Arifin (tengah) ketika bercakap kepada media. Arifin (tengah) ketika bercakap kepada media.



-RI