Warga Pejabat Penerangan Daerah Jelebu Terima Suntikan Pertama Vaksin COVID-19 Hari Ini

Laporan/foto: Sheik Amilhisham Sheik Hashim/Abdul Halim Jumat (Jelebu)

JELEBU, 7 April (Malaysiaaktif) – Warga Pejabat Penerangan Daerah Jelebu menerima suntikan pertama Vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Simpang Durian hari ini.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Jelebu, Abd Halim Jumat , 44, vaksin COVID-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit COVID-19 dan apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk serta dapat melindungi golongan yang berisiko yang tidak layak menerima vaksinasi.

"Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 seperti warga emas, pesakit dengan masalah perubatan seperti pesakit jantung, kencing manis, darah tinggi, asthma, kanser dan sebagainya.

"Suntikan kedua Vaksin dijangka akan disuntik pada 28 April dan vaksin akan mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan," katanya yang turut menerima suntikan tersebut.

Menurut Halim, pembentukan antibodi akan meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua dan ini bermakna seseorang akan dilindungi secara optima selepas menerima kedua-dua dos untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang serius.

"Walaupun seseorang itu telah menerima dos lengkap vaksin, beliau masih perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti mengamalkan 3W iaitu wash, wear, warn dan mengelakkan 3C iaitu mengelakkan confined space (sempit), crowded (sesak) dan close conversation (sembang dekat)," katanya.

-FF