Kerja Berpasukan Kunci Kejayaan Jabatan - Jahid

Laporan/foto: Joanes Robert Johnny (Kota Kinabalu)

TUARAN, 8 April (Malaysiaaktif) - Bekerja dalam satu pasukan dengan semangat kekitaan antara kunci kejayaan sesebuah jabatan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, berkata dengan adanya semangat kekitaan, prestasi kerja akan turut meningkat, sekali gus membangunkan komitmen terhadap satu sama lain dalam mencapai matlamat bersama.

"Semangat saling bekerjasama seperti ini sudah pasti akan membawa kepada hasil kerja yang lebih baik, justeru tidak hairanlah banyak kejayaan pada pelbagai peringkat yang telah berjaya diraih oleh PPD Tuaran selama ini, yang mana boleh dijadikan contoh kepada jabatan yang lain.

"Kejayaan kita juga sebenarnya bergantung cara kita saling berkomunikasi dan akhirnya dapat mengendalikan segala tugasan bersama-sama," katanya dalam program Pelancaran Hike and Ride Sempena Hari Guru Peringkat Daerah Tuaran di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran, di sini semalam.

Menurut Jahid, individu yang berprestasi tinggi juga tidak mampu bersaing dengan mereka yang mengutamakan kerja secara kumpulan.

"Tahniah kepada PPD Tuaran menerusi kelab dan persatuan yang terlibat kerana walaupun jadual mereka ketat tapi masih mampu membuat program sebegini yang memperlihatkan semangat kekitaan yang begitu kuat," katanya.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran Wanihim Othman, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Rozalind Joannes, Timbalan PPD (Sektor Pembangunan Murid) Mohd Hanim Mohd Goss dan Timbalan PPD (Sektor Pengurusan), Jamdin Jeman.

-RI