Yang di-Pertuan Agong Persembah DK Pahang kepada Sultan Selangor, Terima DK Selangor

Foto: Selangor Royal Office

PUTRAJAYA, 8 April (Malaysiaaktif) - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mempersembahkan Darjah Kerabat (DK) Pahang kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Darjah kebesaran DK Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati itu dipersembahkan Al-Sultan Abdullah kepada Sultan Sharafuddin pada istiadat yang berlangsung di Dewan Sri Maharaja, Istana Negara.

Sultan Sharafuddin kemudiannya mempersembahkan DK Selangor Yang Amat Dihormati kepada Al-Sultan Abdullah.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat itu turut disaksikan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

-- BERNAMA